Memberi Kemaafan Boleh Tenangkan Diri
Semua orang mempunyai sifat marah kerana sakit hati, tersinggung, terasa dibohongi atau hal lain yang membuatkan mereka terluka. Perasaan terluka melahirkan rasa marah yang akhirnya menimbulkan kebencian.
Apabila sudah benci, kita tidak akan sesekali memandang orang yang dibenci dengan perasaan positif. Malah, biasanya orang dalam keadaan terlalu marah sukar menerima permintaan maaf atau memberi kemaafan kepada orang yang menyakiti hatinya.
Ini adalah fitrah manusia. Memaafkan bukanlah perkara mudah untuk dilakukan dan memerlukan proses yang panjang. Namun, kita semua boleh menjadi seorang yang pemaaf. Apa yang penting ialah keinginan untuk memiliki kehidupan lebih damai dan tenang.
Mungkin ramai yang tidak menyedari apabila memberi kemaafan, sebenarnya kita tidak melakukannya untuk orang lain, tetapi untuk diri sendiri. Sebahagian kita beranggapan memberi kemaafan kepada orang yang telah menyakiti menunjukkan seolah-olah kita lemah.
Sedangkan jika direnungkan, tindakan memaafkan kesalahan orang lain membolehkan diri memperoleh ketenangan.
Perbuatan memaafkan perlu dilakukan dengan penuh kesedaran dan ketulusan hati untuk mencapai ketenangan diri. Ia juga perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, bukan hanya sekadar ucapan maaf atau saling bersalaman tanpa apa-apa perasaan.
Perbuatan dilakukan dengan sepenuh hati akan memperoleh hasil yang terbaik. Memaafkan kesalahan orang lain menunjukkan kematangan emosi kerana untuk memaafkan orang lain, kita harus mengalahkan ego sendiri.
Memaafkan akan menghasilkan tenaga positif yang akan memberi ketenangan hati kepada orang yang meminta dan memberi kemaafan.
Kawal Nafsu
Rasulullah SAW bersabda, mereka yang mampu menahan kemarahan adalah orang yang kuat dan orang yang kuat adalah orang yang mampu memaafkan orang lain.
Sabda Baginda SAW: “Orang yang paling kuat di antara kamu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsunya ketika marah. Manakala orang yang paling santun di antara kamu adalah orang yang memaafkan ketika mampu melakukan pembalasan.” (Riwayat al-Baihaqi)
Islam sangat memahami bahawa memaafkan sesuatu yang sukar dilakukan. Oleh itu, jika seseorang mampu memberikan kemaafan dengan setulus hati dan ikhlas kepada orang yang telah menyakiti, ganjaran pahala yang dijamin oleh Allah SWT juga amat besar.
Janji Allah sangat jelas dalam firman-Nya: “Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlaku zalim.” (Surah Asy-Syuura, ayat 40)
Sesungguhnya kemampuan memaafkan orang lain akan membebaskan jiwa daripada beban yang menghimpit dan lebih penting, mendapat kasih sayang Allah kerana kemampuan menahan kemarahan serta memaafkan kesalahan orang lain.
Oleh: Nabilah Mohamed
Berita Harian Online
___________________________
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhundri r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
“Awaslah kamu dari marah-marah, kerana marah itu bererti menyalakan api dalam kalbu anak Adam, tidakkah kamu melihat seseorang yang marah itu merah matanya dan tegang urat-uarat lehernya, kerana itu bila seseorang merasakan yang demikian hendaklah berbaring dan meletakkan badannya ditanah.”
Post a Comment Blogger Disqus