KEPENTINGAN MENJAGA PERSAHABATAN
Apakah persahabatan itu hanya wujud pada saat-saat bahagia?
HUBUNGAN persahabatan merupakan antara anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Sahabat, teman, kawan atau rakan, walaupun berbeza sebutan tetapi hakikatnya mereka sentiasa berada dalam lingkungan kehidupan kita pada setiap hari.
Tanpa sahabat, seseorang itu mungkin akan dikategori sebagai ‘kera sumbang’ iaitu orang yang tidak tahu bergaul dan suka menyendiri.
Bermacam-macam corak sahabat kita boleh dapati selepas bersahabat dengan seseorang. Ada sahabat yang kasar, tetapi lembut hatinya, ada sahabat yang nakal, tetapi suka mengambil berat, ada sahabat yang garang, tetapi penyayang dan pelbagai lagi.
Di samping itu, sudah menjadi lumrah dunia, ada juga sahabat yang hanya dekat pada kita apabila kita mempunyai kuasa atau kekayaan. Tetapi jika sudah tidak mempunyai apa-apa, kita mungkin ditinggalkan begitu sahaja.
Namun, ada juga sahabat sejati yang akan sentiasa bersama kita, tidak kira susah atau senang. Itulah teman yang benar-benar memahami erti persahabatan yang sebenar.
Walaupun teman sebegini sukar ditemui, tetapi setiap manusia boleh berusaha untuk menjadi seorang sahabat sejati.
10 ‘K’ Dalam Persahabatan
KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting dalam sesebuah persahabatan. Ikatan persahabatan akan mudah rapuh jika tiada kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada pemilik cinta itu sendiri iaitu Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlu meluahkan rasa cinta terhadap sahabat dengan mengungkap, ‘uhibbuka atau i fillah’ (bagi sahabat yang sama jantina) agar mereka tahu betapa cintanya kita terhadap mereka, kerana Allah.
KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat, kita perlu curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita. Insya-Allah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.
KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Illahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.
KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita setia terhadap sahabat, kita akan diingati sehingga akhir hayat mereka. Ini kerana tidak kira susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan.
KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi, jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya. Kita kena berani mengaku padanya atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu, kita juga kena berani menasihati sahabat kita. Ini kerana sebagai sahabat, kita mesti mahukan yang terbaik untuk mereka bukan?
KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalui dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan.
KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahan mereka terhadap kita. Ini kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Begitu juga sebaliknya.
KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka ikutlah sedih bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Mungkin ketika itu, tiada siapa yang akan mereka cari, selain kita sahabat mereka.
KEGEMBIRAAN. Jika kita gembira, maka berkongsilah kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran senyuman indah pada raut wajah mereka? Kegembiraan kita, bermakna kegembiraan mereka juga.
KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, ‘Kau cantik, aku mesti cantik,’ atau ‘Kau kaya, aku pun kena kaya’. Tidak sama sekali. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza. Namun, dalam persahabatan, keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman dia antara dua pihak.
"PERSAHABATAN HARUS DIBINA ATAS DASAR KESERASIAN."
Akhir sekali, hayati pepatah Inggeris di bawah:
"Friendship is an onion. It has many layers in it. Adds taste to your life, but if you try to cut it, you will get nothing but tears!"
(Persahabatan umpama bawang. Ia mempunyai banyak lapisan di dalamnya dan menambah perisa dalam kehidupan. Tetapi, jika anda cuba memotongnya, anda tidak akan dapat apa-apa, kecuali tangisan.)
~ TANPA keikhlasan, hubungan persahabatan mungkin retak.
Post a Comment Blogger Disqus