Berubah Dengan Niat Ikhlas


Setiap hari dan waktu umur kita semakin meningkat sama ada memasuki tahun baru atau tidak. Apabila hayat bertambah singkat, ajal semakin dekat.


Justeru, kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau sebelum tahun baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim.

Masa tidak selalu menunggu kita. Kebaikan jangan ditangguh, keburukan pula jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik.


Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tidak jadi hebat sehebat sejarahnya.


Baca sejarah, tapi hilang ceritanya dan rohnya. Apabila kefahaman mengecil penghayatan pun makin menguncup. Hasilnya, hijrah tinggal sejarah.


Hijrah Nabi bukan semata-mata proses perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain atau satu keadaan ke satu keadaan yang lain, sebagaimana kebanyakan orang fahami.


Ia adalah manifestasi perubahan masyarakat mencapai kemuliaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.


Sempena Maal Hijrah ini, ramai yang berazam hendak berubah, tetapi perubahan tak kunjung tiba. Perangai masih macam itu juga, yang tinggal hanya azam dan keinginan.


Lebih pelik lagi, kita minta orang lain berubah, minta anak-anak berubah, marah pada pasangan kenapa tidak berubah. Memang tanggungjawab kita menasihati sesama kita.


Cuma, jangan kita asyik menyuruh orang saja. Orang kena berubah, tapi kita macam mana?


Semua kita nak berubah, tetapi terkadang tak tahu bagaimana dan dari mana nak bermula.


Kerana salah tak ikut kaedah, ada juga yang berubah, tetapi tak lama. Mari kita berkongsi cara nak memulakan berubah dan berhijrah.


Hijrah adalah kalimah yang sinonim dengan iman dan jihad. Allah berfirman:

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar darjatnya di sisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar.” (Surah At-Taubah ayat 20-22)


Ketiga-tiganya tidak boleh dipisahkan sama sekali. Hijrah itu dilaksanakan atas dorongan iman dan berjihad di jalan Allah. Dan ketiga-tiganya menuntut pengorbanan besar termasuk harta (masa dan tenaga) serta jiwa. Tidak ada hijrah tanpa pengorbanan.


Pengorbanan itu bukan untuk kepentingan diri dan orang lain, tetapi semata-mata untuk mendapat keredaan Allah.


Untuk itu mari sama-sama kita berkongsi cara bagaimana hendak mulakan perubahan.


1. Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda.


Ini kerana mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan cakap yang kita seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai, tapi buat sendiri tak pandai.


2. Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan, sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip mata saja.


Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah kita akan dapat berubah seperti apa yang diinginkan. Walaupun perlahan, kita akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri.


3. Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama kita bertangguh untuk berubah maka ia menjadi semakin melarat dan susah untuk melakukannya.


Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang.


4. Berusaha untuk berubah dengan niat ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kita perlu memaksa diri untuk berubah sepenuh hati.


Jika diri dipaksa, kita seolah-olah memanjakan diri untuk berubah. Nafsu juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu dan jangan biarkan nafsu mengawal diri kita.


5. Apabila kita melakukan perubahan dalam diri, kita perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia sebati dengan diri. Jika perubahan itu hanya dibiarkan begitu saja, kita hanya berubah untuk seketika.


Selepas itu, kita akan kembali semula ke takuk lama. Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang dilakukan. Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam.


Tapi, jangan kita berubah disebabkan orang lain. Ikhlaskan untuk berubah demi kebaikan diri. Selepas itu, bolehlah mengajak orang lain untuk berubah.


Jika ia dilakukan dengan niat dan cara betul, orang lain akan dapat berubah seperti yang kita harapkan. Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah ke arah kebaikan.


Cuma, jangan jadikan ‘berubah’ sebagai acara bermusim, tetapi perlu istiqamah sehingga menemui Allah.


Post a Comment Blogger Disqus

 
Top